Sejarah Sekolah


Pendahuluan – Nama Kampung
Tempat kediaman asal orang-orang di sini adalah di kawasan sungai yang berhampiran dan sungai tersebut dikenali sebagai Sungai Boka. Oleh itu nama asal kampung ini ialah Kampung Boka dan juga masih dikenali oleh orang-orang tua di Daerah Bau hingga sekarang. Berkemungkinan tempat ini kurang sesuai pada masa dahulu, maka mereka mula mencari tempat yang baru dan lebih sesuai. Oleh yang demikian di kawasan Sungai Bai didapati sesuai, maka berpindahlah mereka dari kawasan Sungai Boka ke kawasan Sungai Bai. “ Bai” ertinya “ Pinang” dalam Bahasa Melayu. Oleh yang demikian, maka mulalah nama kampung ini dipanggil dengan nama Kampung Sungai Pinang hingga sekarang.

Penubuhan Sekolah
Sebelum penubuhan sekolah di Kampung Sungai Pinang, Bau anak-anak kampung ini belajar di kampung Kandis – Siniawan District Council School, Bau. Jauhnya sekolah ini dari kampung Sungai Pinang lebih kurang empat kilometer. Jalan yang dilalui ialah melalui jerami ataupun kebun getah orang-orang kampung. Perjalanan ini memakan masa lebih kurang satu jam setengah bagi kanak-kanak yang berumur di antara tujuh hingga tigabelas tahun. Memandangkan kesulitan ini, maka timbullah di hati penduduk-penduduk di kampung ini untuk menubuhkan sebuah sekolah di kampung mereka sendiri . Perundingan telah selesai di antara orang-orang kampung, maka pegawai dari Pejabat Majlis Daerah Bau pun dijemput untuk meninjau dan mengkaji keadaan fizikal di Kampung Sungai Pinang untuk tujuan menubuhkan sekolah.

Bangunan Sekolah
Apabila kelulusan sudah diberi untuk membuka Darjah Satu pada Tahun 1970, maka mulalah orang kampung memunggut segala bahan –bahan yang diperlukan dari hutan untuk membina bangunan sekolah. Atap bangunan tersebut dibuat daripada daun rumbia dan dindingnya dibuat daripada buluh. Seterusnya ahli-ahli jawatankuasa dibentuk yang dipengerusi oleh En. Kisen ak Gani. Beliau yang banyak sekali menyumbangkan tenaga dan masa dalam pembentukan sekolah tersebut disamping bangunan sekolah, rumah guru juga dibina untuk guru tinggal. Maklumlah pada masa itu perhubungan jalan raya antara sebuah kampung dengan kampung yang lain amatlah susah, maka guru perlu tinggal dengan masyarakat berdekatan dengan bangunan sekolah.

Pengambilan Murid Untuk Darjah Satu
Jumlah murid yang mula belajar dalam Darjah Satu dalam Tahun 1970 ialah seramai 31 orang di mana 13 orang daripada mereka adalah lelaki dan bakinya adalah murid-murid perempuan. Guru yang pertama bertugas di kampung Sungai Pinang, District Council School ialah Cikgu James Daim dan seterusnya selaku Guru Besar juga. Murid –murid yang memulakan Darjah satu berumur di antara tujuh tahun hingga sepuluh tahun.

Bangunan Sekolah Baru
Apabila jalan raya dari Bau ke Batu Kawah dibina melalui Kampung Sungai Pinang maka timbullah di hati orang-orang kampung untuk memindahkan sekolah yang lama ke tapak yang baru iaitu berdekatan dengan jalan raya. Salah satu daripada sebabnya juga ialah memandangkan bangunan yang lama didapati tidak sesuai lagi untuk murid-murid belajar. Bantuan dari kerajaan pun dipohon pada tahun 1976. Penduduk-penduduk di Kampung Sungai Pinang diminta untuk mencari tapak yang sesuai dan seterusnya membuat perundingan dengan kerajaan dalam hal serah menyerah tanah tersebut kepada kerajaan. Tanah yang diperuntukkan itu seluas lebih kurang lima ekar. Apabila tapak tanah sudah diratakan oleh pekerja-pekerja dari Jabatan Kerja Raya maka bangunan-bangunan yang di dalam perancangan pun didirikan. Bangunan-bangunan yang didirikan termasuk satu unit Kelas Empat rumah guru, dua unit bilik darjah, satu unit bilik guru, satu unit stor, satu unit bilik Guru Besar dan dua unit tandas. Projek pembangunan ini adalah daripada “World Bank Loan” yang berkos lebih kurang tujuh puluh dua ribu ringgit. Bangunan baru mula berfungsi sepenuhnya pada penggal ketiga dalam tahun 1977. Guru Besarnya ketika itu ialah Cikgu Lee Joon Fatt dan guru lain ialah Cikgu Albert Ahin. Ketika itu juga ada tiga buah kelas iaitu Darjah Lima, Darjah Tiga dan Darjah Satu. 



No comments:

Post a Comment